Latar belakang
KARTINI adalah sebuah karya kartunis Tembakau yang pernah tersiar di majalah Lanun sekitar tahun 1996/1997. Karya ini telah memberi impak tersendiri kepada industri kartun di Malaysia. Maaf sekiranya saya tersilap, tetapi sepanjang pemerhatian saya, inilah kartun Malaysia pertama yang mengetengahkan watak seorang perempuan bertudung sehingga menjadi ikutan beberapa kartunis lain. Ceritanya mudah tetapi penuh jujur dan humor sehingga dekat di hati remaja pada ketika itu seperti dekatnya karya-karya Ujang seperti AKU BUDAK MINANG, ACA dll. Kredit harus juga diberikan kepada Ujang sebagai mentor yang membentuk kartunis bergelar Tembakau ini. Selain impak menjadi pelopor kepada lukisan gadis bertudung di aliran mainstream (watak gadis bertudung sebenarnya telah lama bertapak di komik2 dakwah), watak Kartini juga sering menjadi lukisan untuk diterapkan pada “T-shirt sekolah” keluaran Central Market sebagaimana watak Sahak (Blues Utk Aku: AIE) menjadi pilihan bagi pelajar lelaki. Kartini adalah antara karya terbaik Tembakau dan siri ini pernah diadaptasi menjadi animasi. Sayangnya penulis tidak tahu kesudahan projek tersebut walaupun pernah menonton sedutan animasi tersebut semasa kuliah (kualiti yang agak mengecewakan). Setelah berakhirnya siri Kartini, Tembakau pernah beberapa kali cuba menyambung siri tersebut di dalam beberapa majalah namun sering terkandas. Kini, dengan usaha sebuah syarikat penerbitan PTS, siri ini dihidupkan semua dalam bentuk “stand alone” dengan tajuk KARTINI KEMBALI.
PENDEKATAN BERBEZA
Bagi peminat KARTINI, kehadiran KARTINI KEMBALI setelah 10 tahun!!, dijangka dapat mengubat kerinduan dan mengembalikan nostalgia. Namun pada pengamatan penulis, KARTINI KEMBALI agak berbeza. Karya ini bagaikan satu peralihan atau satu frasa oleh Tembakau untuk membawa pembaca ke satu perbincangan yang lebih serius. Kartini pada awalnya hanyalah sebuah cerita monyet yang dilalui di zaman remaja dalam ketika remaja itu sendiri tercari-cari arah mereka. Bak sepotong ayat di dalamnya berbunyi,
“Dalam keadaan aku masih tercari apa makna masa depan, apa makna cita-cita, masih teraba-raba..aku boleh rindukan orang pulak!”
Hakikatnya isu sebenar dalam siri Kartini ini adalah konflik identiti remaja. Cinta zaman sekolah hanyalah sebahagian daripada proses konflik identiti. Inilah penumpuan dalam Kartini Kembali. Tembakau mengajak pembaca lebih serius pada kehidupan selepas kisah cinta itu. Cinta Kartini hanyalah sebagai titik tolak. Jadi jika pembaca terus berharap untuk dibuai tentang kisah lucu dan manis tentang cinta zaman sekolah. Anda akan kecewa. Saya menjangkakan sambungan siri ini akan berkisar tentang cita-cita dan kehidupan. Lantaran itulah dalam KARTINI KEMBALI, kisah Kartini itu sendiri sangat sedikit disentuh.
Kita perlu sedar betapa kehidupan zaman sekolah adalah apa yang membentuk peribadi seseorang. Kita selalu membandingkan kehidupan semasa belajar dan bagaimana kehidupan setelah bekerja. Ada yang berkata, ” Aku akan berjaya suatu hari nanti!” atau “Aku akan tunjukkan pada budak pompuan tu, bila aku dah sukses!” Namun, bagaimana sekiranya kita masih gagal sebagaimana kita gagal ketika di sekolah?
Tapi personally, saya rasa hakikatnya Tembakau dalam pencarian dirinya lebih beruntung kerana dikurniakan bakat yang tiada pada orang lain. Walaupun tidak berijazah atau “berjaya” dari segi konteks berjaya masyarakat sekarang (bergaji besar, kereta mewah) tapi dengan bakatnya beliau masih mampu mencipta nama!
KUALITI
Walaupun stroke lukisan agak kasar dibandingkan dengan gaya awal Tembakau, saya tertarik dengan eksperasi wajah setiap karakter dalam komik ini. Eksperasi yang pelbagai dan didzahirkan dengan berjayanya oleh Tembakau sangat memberi kesan dalam perjalanan cerita KARTINI KEMBALI. Komik ini juga kelihatan matang dengan banyak meninggalkan adegan untuk imaginasi pembaca sendiri. Contohnya adegan Yon dan kawan-kawannya melihat sesuatu kejadian di langit dan adegan apakah sebenarnya persembahan yang dibuat oleh Yon pada malam persembahan.
KESIMPULAN
Rumusannya, KARTINI KEMBALI hanyalah satu frasa yang belum benar-benar mengupas apa yang cuba disampaikan oleh Tembakau. Sebagaimana Matrix Reloaded hadir sekadar pelengkap kepada siri MATRIX, begitulah KARTINI KEMBALI. Namun saya menjangkakan sesuatu yang lebih mantap akan dipersembahkan dalam sambungan siri ini. Sebagai peminat Tembakau, karya ini mesti dimiliki, sebagai tanda minat dan juga untuk menyaksikan kematangan Tembakau dalam karyanya! Wasalam.
p/s apa jadah serius sangat penulisan aku ni? hehe..berlatih nak jadik reviewer bertauliah. Kalo bahasa paso, cerita ni tergantung aa ..demit! Tapi best jugak la…lawak2 dalam ni terutama kalo fokus kat tiap2 ekpresi muka Yon dan kengkawan dia..haha.
Recent Comments